Isnin, 8 Oktober 2018 | 11:17am

Penggalian semula kubur CEO Cradle Fund diteruskan

PETALING JAYA: Proses penggalian semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif, Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, sedang dijalankan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, di sini.

Sehingga jam 10.40 pagi tadi, pihak polis masih menutup laluan masuk utama ke kawasan tanah perkuburan bagi membolehkan kerja-kerja penggalian berjalan lancar.

Pegawai dan anggota polis, bersama pihak Jabatan Forensik dan Patalogi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat mula memasuki kawasan perkuburan sejak jam 8.30 pagi tadi.

Turut kelihatan memasuki kawasan ini adalah pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Difahamkan pihak Mahkamah Majistret Petaling Jaya, yang membenarkan penggalian semula kubur dilakukan turut memantau proses berkenaan.

Nazrin ditemui meninggal dunia di rumahnya pada Julai lalu sebelum pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, mengesahkan kematiannya adalah disebabkan letupan pada telefon bimbit miliknya.

PROSES menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu. - Foto Saddam Yusoff

Bagaimanapun siasatan susulan yang dibuat mendapati wujud unsur mencurigakan akibat kematian Nazrin sehingga menimbulkan faktor perbuatan jenayah.

Berikutan dari itu, pihak polis kemudian menahan reman isterinya yang berusia 43 tahun dan dua anaknya serta bekas suami isterinya itu.

Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan bagi membolehkan siasatan selanjutnya dilakukan.

Pada hujung bulan lalu, abang Nazrin, Dr Malek Hassan, membuat permohonan supaya bedah siasat kedua dilakukan terhadap jenazah abangnya atas alasan bedah siasat kedua didapati meragukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, kemudian mengesahkan bahawa pihak polis menerima kebenaran mahkamah untuk menjalankan bedah siasat kedua hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri kedua Allahyarham Nazrin Hassan iaitu Samirah Muzaffar, mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi bagi menangguhkan penggalian semula kubur beliau.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penggalian semula kubur itu diteruskan.

KENDERAAN Forensik PDRM memasuki pekarangan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 untuk proses menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X