Selasa, 9 Oktober 2018 | 12:22am

Empat remaja ditahan kes curi motosikal

AMPANG JAYA: Polis menahan empat remaja lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes curi motosikal, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata semua suspek ditahan di Apartmen Mesra Ria, Taman Pandan Mesra di sini, kira-kira pada jam 10.30 malam.

Katanya, polis berjaya mengesan suspek selepas tiga daripada mereka menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Mewah Utara, Pandan Mewah.

Anggota Operasi Balai Polis Pandan Indah kemudian mengekori suspek hingga ke Apartment Mesra Ria Mesra sebelum melakukan pemeriksaan. Bagaimanapun, seorang daripada mereka melarikan diri.

Siasatan awal mendapati motosikal itu dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

Polis kemudian menahan dua suspek itu manakala remaja yang melarikan diri ditahan bersama seorang lagi rakannya tidak lama kemudian.

“Mereka disyaki menggunakan kunci motosikal lain untuk menghidupkan enjin motosikal dan melarikan kenderaan itu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka juga terbabit dengan kehilangan motosikal di kawasan Ampang,” katanya.

Semua suspek ditahan reman empat hari sehingga Khamis ini.

Polis juga sedang mengesan seorang lagi rakan suspek bagi membantu siasatan.

Berita Harian X