Selasa, 9 Oktober 2018 | 1:20pm

SPRM tak telefon dapatkan butir peribadi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi panggilan telefon, e-mel atau sebarang medium media sosial untuk mendapatkan butiran peribadi dan sulit bagi tujuan menjalankan siasatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan sejak kebelakangan ini ia menerima banyak aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan panggilan dan permohonan palsu itu.

“Orang ramai yang menerima panggilan meragukan ini dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian 1-800-88-6000 dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my,” menurut kenyataan itu.

SPRM juga berharap orang ramai lebih peka serta berkongsi maklumat ini dengan masyarakat sekeliling. – BERNAMA

Berita Harian X