Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:00pm
BAYI lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan bogel dalam tandas wanita di Hentian Lanchang. - Ihsan PDRM
BAYI lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan bogel dalam tandas wanita di Hentian Lanchang. - Ihsan PDRM

Bayi baru lahir ditinggalkan di Hentian Lanchang

TEMERLOH: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan bogel dalam tandas wanita di Hentian Lanchang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Bayi itu ditemui kira-kira jam 5 pagi oleh seorang wanita yang menemuinya di atas para dalam bilik tandas bernombor 11.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod, berkata wanita berkenaan memaklumkan ada mendengar bunyi tangisan bayi sekitar jam 4.30 pagi, namun tidak menghiraukannya.

“Bagaimanapun beliau curiga apabila tangisan berkenaan tidak berhenti selama setengah jam, sekali gus mendorongnya membuat pemeriksaan di dalam tandas berkenaan dan menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel dengan najis berwarna kehitaman yang sudah kering.

“Saksi kemudiannya mengambil kain pelekat dan telekung dari surau untuk membalut bayi berkenaan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Zundin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada sebarang kesan darah ditemui pada badan bayi berkenaan dan pihaknya percaya bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan dalam tandas terbabit.

“Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk rawatan lanjut.

“Kami masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan bagi mengesan suspek memandangkan kawasan hentian berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Tambah beliau, siasatan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berita Harian X