Selasa, 9 Oktober 2018 | 6:57pm
TUN Raus Sharif (kiri) dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. - Foto NSTP

Dr Mahathir teruskan rayuan berhubung pelantikan bekas dua hakim tertinggi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan meneruskan rayuannya berhubung pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk tidak menjawab persoalan undang-undang mengenai pelantikan dalam kes lain.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir memberitahu media bahawa Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Januari tahun depan untuk mendengar rayuan oleh anak guamnya.

“Tun Dr Mahathir meneruskan rayuan atas alasan bahawa beliau memerlukan mahkamah yang tertinggi untuk mentafsir peruntukan Perlembagaan yang perlu,” kata beliau.

Hari ini ia ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norazihah Asmuni dengan kehadiran peguam Nur Dalila Husna Azmi yang mewakili Dr Mahathir dan Peguam Persekutuan Saiful Nizam Shahrin yang mewakili responden (Raus, Zulkefli dan kerajaan).

Dr Mahathir merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak dua permohonannya bagi kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Kerajaan Malaysia, Raus dan Zulkefli bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim tersebut.

Dr Mahathir memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk semakan kehakiman pada 9 Ogos dengan menamakan Najib, kerajaan dan Raus sebagai responden, untuk mendapatkan perintah mandamus memaksa perdana menteri (Najib) dan kerajaan segera memberi nasihat kepada Yang di- Pertuan Agong untuk membatalkan atau menamatkan pelantikan Raus sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh selama tiga tahun lagi bermula 4 Ogos.

Pada 27 September lalu, Dr Mahathir memfailkan permohonan yang sama, menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli sebagai responden, untuk mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh khidmat presiden Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua permohonan itu berdasarkan empat alasan mengikut peruntukan perlembagaan, termasuk Perkara 125 (1) Perlembagaan yang menyebut seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur 65 tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur 65 tahun.

Pada 24 September lalu, panel enam anggota Mahkamah Persekutuan menolak untuk merujuk empat persoalan perlembagaan berhubung kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli dalam kes yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguambela Sarawak selepas memutuskan bahawa isu itu adalah bersifat akademik memandangkan Raus dan Zulkefli sejak itu telah melepaskan jawatan mereka.

Raus dan Zulkefli telah meletakkan jawatan pada 31 Julai. – BERNAMA

Berita Harian X