Selasa, 9 Oktober 2018 | 8:52pm
Mohamad Amran Mohd Salleh maut selepas lori yang dinaikinya terbabas dan melanggar sebuah lori lain dan kereta di hadapan Warung Gulai Temenung Meja Bulat, Jalan Kuala Kedah, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Pekerja E-idaman maut kemalangan

ALOR SETAR: Pekerja syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman (E-idaman) maut selepas lori syarikat itu yang dinaikinya terbabas dan melanggar sebuah lori lain dan kereta di hadapan Warung Gulai Temenung Meja Bulat, Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohamad Amran Mohd Salleh, 40, yang duduk di tempat duduk penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan parah pada muka, tangan dan perut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam kemalangan itu, pemandu lori E-idaman Mohd Faiz Daut, 34, luka pada dahi dan sakit dada manakala seorang lagi pekerja syarikat sama, Mohd Anuar Abdullah, 46, cedera pada hidung.

Katanya, pemandu lori dan pemandu kereta PERODUA Myvi yang dirempuh lori syarikat terbabit tidak cedera kerana ketika kejadian, mereka tiada di dalam kenderaan.

“Siasatan awal mendapati, lori syarikat pembersihan itu datang dari arah lampu isyarat Masjid Aman ke Kuala Kedah sementara sebuah lagi lori di parkir di kiri jalan lorong motosikal manakala kereta itu pula di parkir di hadapan warung.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lagi lori dan terbabas ke kiri dan merempuh kereta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Rozi berkata, akibat kejadian itu, penumpang di sebelah kiri gagal diselamatkan ketika dalam perjalanan ke HSB dan disahkan meninggal dunia jam 10.40 pagi di Zon Merah HSB.

“Lori syarikat terbabit rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kiri manakala lori yang dirempuh rosak di belakang sebelah kanan, bampar hadapan, bonet dan cermin hadapan.

“Kereta itu pula rosak di bampar belakang sebelah kanan, but dan cermin belakang,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X