Rabu, 10 Oktober 2018 | 1:37pm

Janda dijatuhi hukuman sebat syariah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang janda yang juga dikenali sebagai ‘pelacur otai’ menjadi individu keempat di negeri ini yang dijatuhi hukuman sebatan syariah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, selepas mengaku salah atas pertuduhan persediaan melacurkan diri, hari ini.

Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail ketika membacakan penghakimannya memerintahkan wanita berusia 45 tahun berkenaan disebat sebanyak empat kali dan menjalani pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, bermula hari ini.

Beliau turut memerintahkan hukuman sebatan itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang, Selangor dan dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan dikemukakan oleh wanita berkenaan.

Kamalruazmi ketika membacakan penghakimannya juga berkata, keputusannya untuk menghantar wanita berkenaan ke pusat pemulihan itu adalah berdasarkan cadangan dan kesediaan pesalah untuk mendapatkan pemulihan dan beliau berpendapat ia adalah satu cadangan yang baik.

Justeru beliau mengenakan hukuman tambahan iaitu menjalani pemulihan di pusat perlindungan terbabit mengikut Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang berasal dari Johor itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat sebelum ini, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini menetap di Klang, Selangor, ditahan dalam serbuan di sebuah resort di bandar raya ini, bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, kira-kira jam 11 malam, pada 19 September lalu.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku menerima upah khidmat seks diberikan dengan mengenakan bayaran RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan terbabit sebelum lapan barangannya dirampas dan disita termasuk beberapa botol minyak, jel pelincir dan kondom yang masih tidak digunakan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah dihadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Fazru Anuar Yusof.

Wanita berusia 45 tahun diiringi anggota penguatkuasa JHEAT untuk keputusan kes pelacuran di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria
Wanita berusia 45 tahun diiringi anggota penguatkuasa JHEAT untuk keputusan kes pelacuran di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X