Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:10pm
NORAIN Lamilah (kiri) bersalaman dengan peguamnya Datuk Seri K. Rakhbir Singh selepas terlepas dari hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

Ejen hartanah terlepas hukuman gantung

KOTA KINABALU: Seorang ejen hartanah terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah.

Norain Lamilah, 55, menangis dan berlutut di atas lantai selepas mendengar Hakim Datuk Nurchaya Arshad mengarahkan dia dilepaskan.

Lelaki itu didakwa mengedar 1,387.86 gram dadah di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini sekitar jam 11.50 pagi pada 28 November tahun lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norain menghampiri pegawai kastam untuk bertanya jumlah cukai terhadap bungkusan yang kononnya milik temannya yang berada di Indonesia.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemui dadah berbahaya di ruang rahsia dalam beg troli berwarna merah dan analisis kimia mengesahkan ia adalah methylenedioxymethamphetamine.

Peguamnya, Datuk Seri Rakhbir Singh ketika ditemui di luar mahkamah selepas keputusan itu berkata, mereka memohon pertuduhan ditarik balik kerana tertuduh tidak memiliki atau mempunyai pengetahuan mengenai isi kandungan bungkusan serta dia bukan penerima.

JKDM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amir Johari.

Berita Harian X