Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:15pm
PEGUAM Ram Karpal Singh. - Arkib NSTP

Kerajaan perlu kemuka permohonan rasmi bawa pulang Sirul

GEORGETOWN: Kerajaan perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada Australia bagi membawa pulang bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar yang dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam Ram Karpal Singh berkata, dengan keputusan Kabinet yang memansuhkan hukuman mati, kerajaan Australia perlu mengekstradisi Sirul ke Malaysia kerana tiada lagi alasan untuk dia ditahan di negara itu.

“Kerajaan perlu membuat permohonan rasmi kepada Australia secepat mungkin sebaik Parlimen menghapuskan pelaksanaan hukuman mati di negara ini, supaya Sirul boleh menjalani hukuman di sini.

“Hukuman terhadap Sirul perlu dikaji semula dan dikenakan hukuman lebih berat dengan mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di dalam Facebook miliknya.

Ramkarpal berkata, peguam yang mewakili keluarga Altantuya berulang kali menegaskan bahawa keadilan perlu ditegakkan dalam kes itu.

“Sehubungan itu Australia perlu memainkan peranannya dalam memastikan keadilan terlaksana dengan menghantar pulang Sirul ke Malaysia

“Sirul juga perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka dengan memberitahu siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya, sekali gus menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja membuka semula kes itu,” katanya.

Pada Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri yang sebelum ini didapati bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Sirul dan Azilah bersalah dan menjatuhkan hukum gantung atas kesalahan itu.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman itu dijatuhkan dan berada di Australia sejak 2014.

Beliau berkata, Kabinet sudah membuat keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati dan Rang Undang-undang (RUU) itu akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, memberitahu pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuh dan ditangguhkan sehingga ia berkuat kuasa.

Sementara itu, mengulas mengenai pemansuhan hukuman mati oleh Kabinet, Ramkarpal berkata hukuman mati tidak pernah terbukti sebagai satu langkah yang efektif untuk mencegah.

“Ketika membahaskan perkara ini di Parlimen, saya mencadangkan suatu peruntukan diperkenalkan bagi membolehkan mahkamah mengkaji setiap kes yang dijatuhkan hukuman mati.

“Mahkamah perlu diberikan budi bicara kerana sesetengah kes mungkin berhak dikenakan hukuman lebih berat berbanding kes lain, sebagai contoh, individu yang disabitkan atas kesalahan menyeludup dadah dalam kuantiti kecil tidak seharusnya diberikan hukuman penjara yang panjang berbanding kesalahan membunuh.

“Saya juga berharap mahkamah diberikan kuasa untuk mengkaji pelaksanaan hukuman mati bagi pesalah yang sudah disabitkan dengan hukuman itu berdasarkan kes,” katanya.

Berita Harian X