Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:29pm
Anggota polis melakukan pemeriksaan di tempat kejadian seorang paramotor yang maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Muda. - Foto Nor Farhani Che Ad

Paraglider maut jatuh sungai

SUNGAI PETANI: Seorang paraglider maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muda apabila enjin paraglidernya mengalami masalah ketika melakukan riadah itu di Dataran Dato Ali Yahaya, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian kira-kita jam 8 pagi itu, mangsa bersama rakannya menjalankan kegiatan itu seperti biasa di dataran terbabit.

Bagaimanapun, katanya, selepas kira-kira lima minit berada di udara, enjin paraglider tiba-tiba mengalami masalah hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Penduduk kampung yang melihat kejadian itu cuba membantu dan menemui mangsa hanyut kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilihat terjatuh, akibat dibawa arus sungai.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah ahli persatuan paraglider yang berdaftar dan mempunyai kelayakan serta mendapat kebenaran Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk melakukan kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, enjin paraglider itu akan dihantar ke agensi berkaitan untuk diperiksa bagi mengetahui masalahnya dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Berita Harian X