Ahad, 14 Oktober 2018 | 9:24pm
TANAH Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. - Foto NSTP
TANAH Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. - Foto NSTP

Jenazah bekas CEO Cradle Fund dikebumi semula esok

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, dekat sini esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pengebumian semula akan dilakukan pada jam 11 pagi di lokasi sama.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya. - BERNAMA

Berita Harian X