Isnin, 15 Oktober 2018 | 1:48pm
FADZIL Ahmat.

Kes CEO Cradle Fund: Polis tunggu laporan bedah siasat kedua

PETALING JAYA: Polis akan menunggu laporan penuh bedah siasat kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat, berkata laporan bedah siasat kedua itu akan disiapkan dalam masa terdekat selepas proses itu dilakukan minggu lalu.

“Kita akan tunggu hasil bedah siasat kedua yang dilakukan ke atas jasad Allahyarham Nazrin, proses itu selesai semalam.

“Ahli patologi yang terbabit akan menyiapkan laporan bedah siasat itu secepat mungkin.

“Sebaik lengkap, pasukan penyiasat akan meneliti laporan itu sebelum memutuskan apakah tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, jenazah Nazrin selamat dikebumikan buat kali kedua selepas kuburnya digali semula lapan hari lalu.

Jasad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas dibawa dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan van jenazah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan diiringi dua anggota polis bermotosikal.

Turut dilihat hadir, ahli keluarga terdekat Nazrin dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata jasad Nazrin akan dikebumikan pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, pengebumian semula ditangguhkan selepas ahli patologi meminta sedikit masa untuk melengkapkan proses bedah siasat.

Pada 8 Oktober lalu, jenazah Allahyarham Nazrin dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Berita Harian X