Rabu, 17 Oktober 2018 | 1:46pm
TI Lian Ker

Kaji dulu sebelum mansuh

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati mandatori tidak boleh dijalankan secara tergesa-gesa hanya sekadar memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh kerana pelaksanaan itu bakal memberi implikasi kepada sistem perundangan negara.

Katanya, soal pemansuhan hukuman itu bukannya hanya membabitkan satu atau dua undang-undang saja tetapi sistem perundangan dan hukuman kepada pesalah jenayah.

“Justeru, kerajaan kena tubuh satu jawatankuasa khas membabitkan pelbagai pihak berkepentingan sebelum tindakan memansuhkan hukuman mati mandatori dibuat.

“Saya membantah jika hukuman ini mahu dimansuhkan hanya kerana ia menjadi janji manifesto Pakatan Harapan (PH). Perlu diingat bahawa janji manifesto lebih kepada memancing undi dan PH kini sudah pun menang. Tidak sepatutnya perkara yang serius dan berat ini dijadikan alat untuk agenda politik saja,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Kabinet mahu memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini.

Susulan itu, Kabinet memutuskan semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Lian Ker berkata, sebelum ini, kerajaan mengakui manifesto yang dibuat itu tidak melalui proses kajian menyeluruh tetapi berdasarkan kehendak dan kemahuan penyokong mereka.

Beliau khuatir pemansuhan itu akan memberi kesan kepada matlamat asal hukuman itu digubal serta menafikan keputusan yang sudah dibuat di Parlimen sebelum ini.

“Kerajaan tidak perlu menggunakan pemansuhan hukuman mati mandatori ini sebagai modal politik lagi, bagi memenuhi keperluan dan kehendak segelintir aktivis yang lantang dalam isu berkenaan.

“Kerajaan kena bertindak bukan hanya akur kepada permintaan satu dua aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saja. Kita mahukan kerajaan yang bertanggungjawab kepada keseluruhan rakyat. Jangan gunakan satu dua kes yang terkhilaf sebagai asas untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ini.

“Suara rakyat itu perlu diutamakan bukannya suara segelintir aktivis yang lantang menyokong kerajaan saja. Asas kepada perubahan itu perlu kukuh dan disokong rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa hukuman itu belum kekal sehingga dimansuhkan, jelas membayangkan beliau sendiri tidak berapa setuju dengan pemansuhan itu.

“Ini kerana, saya percaya Dr Mahathir sendiri kurang setuju kerana kebanyakan hukuman mati mandatori terutama membabitkan kesalahan penyeludupan dadah digubal ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat,” katanya.

Beliau berkata, hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah sepatutnya diteruskan kerana dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Soal pemansuhan hukuman itu tidak sepatutnya dijadikan modal bagi memenuhi selera segelintir kumpulan atau menampakkan kerajaan sedang membuat perubahan saja, kerana ia membabitkan isu perundangan, matlamat hukuman itu dibuat, keselamatan dan sistem keadilan bagi mangsa atau keluarganya,” katanya

Berita Harian X