Rabu, 17 Oktober 2018 | 3:09pm
Tembok penahan banjir dengan ketinggian 1.5 meter yang sedang dibina di sebahagian Sungai Golok di negara jiran oleh pihak Thailand. Penduduk di Pekan Rantau Panjang dinasihatkan berjaga-jaga pada musim tengkujuh ini. - Foto Fathil Asri

Jangkaan bah lebih besar di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Penduduk di sini bimbang daerah berkenaan akan dilanda banjir lebih besar berbanding sebelum ini, berikutan kerajaan Thailand membina tembok penahan banjir.

Tinjauan NSTP di lokasi berkenaan mendapati tembok sepanjang kira-kira dua kilometer (km) sudah siap dibina di tebing Sungai Golok, sebelah Thailand dengan ketinggian 1.5 meter.

Hanya di kawasan pangkalan haram Gergaji, tembok berkenaan masih dalam pembinaan dan sebaik sahaja siap, orang ramai mungkin tidak boleh lagi menyeberangi masuk ke negara itu secara berleluasa.

Melihat kepada pembinaan tembok itu, semestinya penduduk yang tinggal di sekitar Rantau Panjang bakal berdepan banjir lebih besar kerana air Sungai Golok selepas ini akan melimpahi ke pekan berkenaan.

Penduduk, Mamat Ishak, 58, berkata sejak pembinaan tembok berkenaan pada awal tahun, mereka sudah mula bimbang kerana tembok itu hanya di bina di sebelah Thailand.

“Selepas ini setiap kali hujan lebat dan musim banjir, air daripada Sungai Golok akan turun ke kawasan kami di Rantau Panjang. Sebelum ini air sungai akan melimpahi negara jiran dan Rantau Panjang.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu Zuhami Omar (kanan) meninjau bekalan makanan dan keperluan untuk mangsa banjir di Mini Depo JKM Kampung Macang, Kuala Berang. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

“Ini menyebabkan penduduk terpaksa membuat persiapan yang lebih berbanding sebelum ini kerana paras air semestinya akan lebih tinggi,” katanya ketika ditemui, di sini.

Penduduk, Hasmah Ibrahim, 54, turut mengakui bimbang sekiranya dilanda banjir memandangkan kediamannya hanya bersebelahan Sungai Golok.

“Memang kami penduduk di sini sudah sebati dengan banjir kerana setiap tahun dilanda bencana itu. Namun kali ini berbeza kerana Thailand membina dinding banjir,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah, berkata jika hujan lebat melebihi 60 milimeter sehari di Rantau Panjang, air Sungai Golok yang biasanya turut melimpah ke negara jiran menjadi terhalang menyebabkan kawasan pekan itu akan menerima lebih banyak limpahan air sungai terbabit.

Katanya, pembinaan dinding banjir di negara itu menyebabkan pekan Rantau Panjang dijangka mengalami banjir lebih teruk daripada biasa dengan pertambahan 10 peratus atau satu meter paras air.

“Jika Malaysia tidak turut membina tembok banjir, levi atau struktur yang sama seperti kerajaan Thailand terutama di tebing Sungai Golok, risiko tinggi akan berlaku kepada pekan Rantau Panjang.

“Kita difahamkan dinding banjir sudah dibina banyak tempat oleh kerajaan Thailand bagi mengurangkan kesan banjir di negara itu. Di Rantau Panjang saja dianggarkan lebih dua kilometer dinding banjir baharu dibina di sepanjang Sungai Golok dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter.

“Justeru, bagi mengelakkan risiko banjir lebih teruk berlaku, kita memerlukan lebih RM200 juta untuk pembinaan dinding banjir dengan struktur lebih fleksibel, sistem saliran bandar serta saluran banjir di kawasan Rantau Panjang,” katanya.

Berita Harian X