Ahad, 21 Oktober 2018 | 1:52pm

Kereta dilanggar sebelum disamun samseng jalan raya

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kerugian RM400 selepas diperas ugut sekumpulan lelaki dalam kejadian buli jalan raya dan samun di Tol Batu 11, Kajang di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.55 malam itu, mangsa menaiki sebuah pacuan empat roda bersama dua pekerja warga asing turut cedera ditampar kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Persona dinaiki empat lelaki secara tiba-tiba menukar lorong dari kanan ke bahagian kiri.

“Mangsa yang berada di lorong kiri berkenaan tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum melanggar bahagian belakang kereta suspek.

“Pemandu kereta Proton Persona kemudian keluar dan memarahi pengadu sebelum menarik pengadu keluar dari keretanya,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, dalam keadaan takut pengadu minta maaf tetapi suspek bertindak menampar muka pengadu beberapa kali.

“Suspek meminta ganti rugi sebanyak RM1,000 tetapi mangsa memberitahu tiada duit sebanyak itu.

“Suspek tidak berpuas hati dan ingin menyimpan kereta mangsa sebagai cagaran wang berkenaan namun mangsa tidak setuju sebelum menghubungi majikannya untuk meminta habuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan untuk membuat laporan polis tetapi suspek tidak bersetuju dan mengugut akan menahan serta bunuh mangsa sekiranya tidak memenuhi permintaannya.

“Suspek kemudian meminta mangsa dan pekerjanya mengeluarkan duit dan barang berharga. Antara barang yang dirampas adalah wang tunai RM400 dan satu telefon pintar,” katanya.

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami sakit di bahagian muka kesan ditampar suspek.

“Semua suspek kini sudah dikenalpasti dan tindakan mengesan suspek sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X