Isnin, 22 Oktober 2018 | 9:35am
ANGGOTA bomba sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat Aiman Nazrin Azlan yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 34.9 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat Aiman Nazrin Azlan yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 34.9 Lebuhraya Utara Selatan malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan Pembaca

Pelajar UNIMAP maut, kereta langgar pokok

JITRA: Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) maut selepas kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di Kilometer (KM) 34.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa, Aiman Nazrin Azlan, 21, berasal dari Alor Mengkudu, Alor Setar dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum terbabit dalam kemalangan itu pada jam 11.12 malam.

Katanya, ketika kejadian cuaca hujan lebat dan jalan menjadi licin menyebabkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan sehingga terbabas ke tepi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, sepasukan anggota bomba turut membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Berita Harian X