Isnin, 22 Oktober 2018 | 4:39pm
JASAD Nazrin kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pada 15 Oktober lalu. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Polis belum terima laporan bedah siasat kedua Nazrin

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima laporan bedah siasat kali kedua yang dilakukan ke atas jasad bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Pada masa ini, pegawai dari Jabatan Forensik dan Patalogi dilaporkan masih sedang menyiapkan laporan bedah siasat ke atas jasad Allahyarham Nazrin, selepas proses berkenaan dibuat pada petang 8 Oktober lalu.

Selepas bedah siasat dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, (PPUM), jasad Nazrin kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, pada 15 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata pada masa ini pihaknya masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat kedua berkenaan.

“Setakat ini kita masih belum menerima laporan berkenaan dan tidak dapat mengesahkan sama ada keputusan itu akan keluar dalam masa terdekat atau sebaliknya.

“Apabila pihak kami (polis) sudah menerima laporan berkenaan, siasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian Nazrin,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebarang penemuan bukti atau petunjuk baharu dalam kes berkenaan dan meminta semua pihak menunggu sehingga keputusan bedah siasat dikeluarkan.

Nazrin ditemui mati di rumahnya di Kota Damansara, di sini pada 14 Jun lalu, dalam keadaan 30 peratus tubuh badannya terbakar.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu akibat kebakaran berdasarkan laporan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Bagaimanapun, kes itu bertukar menjadi kes bunuh selepas pihak bomba menemui kesan petrol di bilik tidur si mati, yang disyaki menunjukkan wujudnya elemen jenayah.

Susulan itu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 43 dan dua anaknya ditahan reman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pada hujung bulan lalu, abang mangsa, Dr Malek Hassan, menghantar permohonan kepada pihak mahkamah, untuk membuat bedah siasat kedua ke atas jasad adiknya.

Berita Harian X