Rabu, 24 Oktober 2018 | 2:14pm
RICHARD Tan Wuu Chyau ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Ketua PKR Cabang Johor Bahru didesak lepas jawatan

PETALING JAYA: Sekumpulan ahli PKR Johor Bahru mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu mengambil tindakan lebih tegas terhadap Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didapati melanggar peraturan pemilihan.

Wakilnya, Richard Tan Wuu Chyau, berkata tindakan sekadar amaran keras yang dikenakan terhadap Akmal tidak memadai dan kesalahan itu jelas bertentangan dengan prinsip parti.

“Pada pemilihan peringkat cabang Johor Bahru 30 September lalu, tindakan Akmal yang memasuki tempat mengundi sambil menunjukkan ‘cai’ adalah tingkah laku yang langsung tidak menghormati proses demokrasi.

“Lebih mengecewakan, hasil aduan yang dibuat kepada JPP, Akmal sekadar dikenakan amaran keras. Sepatutnya beliau digantung keanggotaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada JPP di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat memaparkan Akmal memasuki tempat mengundi sambil menunjukkan ‘cai’ dan mengajak ahli parti itu supaya mengundi pasukannya.

Pada pemilihan terbabit, Akmal memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Johor Bahru menewaskan Wuu Chyau.

Mengulas lanjut, Wuu Chyau mendesak Akmal melepaskan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Johor Bahru dan menarik diri daripada bertanding sebagai calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sementara itu, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, mengesahkan sudah menerima memorandum terbabit.

“Ya, saya sudah terima (memorandum) tetapi JPP sudah membuat keputusan mengekalkan tindakan amaran keras yang diberikan kepada Akmal,” katanya.

Berita Harian X