Khamis, 25 Oktober 2018 | 7:00pm
Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mangsa seorang orang asli 38, cedera parah selepas terjatuh pokok petai di Hutan Simpan Petaseh. - Foto ihsan Bomba

Parah jatuh dari pokok petai

JELEBU: Seorang lelaki Orang Asli parah selepas terjatuh ketika memanjat pokok petai di kawasan Hutan Simpan Petaseh di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata Ahmad Firdaus Abdullah, 39, dari Kampung Batu 17, Simpang Pertang, di sini, masuk ke dalam hutan itu bersama dua rakan bagi mencari petai, kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, mangsa bagaimanapun tidak bernasib baik selepas tergelincir dan terjatuh dari ketinggian 30 meter ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter.

“Rakan mangsa kemudian keluar dari hutan untuk meminta bantuan dan menghubungi Balai Bomba Simpang Pertang,” katanya ketika dihubungi.


Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mangsa seorang orang asli 38, cedera parah selepas terjatuh pokok petai di Hutan Simpan Petaseh. - Foto ihsan Bomba

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Penguasa Bomba Kanan II Zamrus Mohd Rais, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.43 petang.

Katanya, enam anggota bergegas ke lokasi untuk memulakan operasi menyelamat dengan dibantu anggota polis dan kakitangan Klinik Kesihatan Pertang.

“Jarak jalan besar ke lokasi kira-kira lima kilometer dan pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 90 minit bagi mengeluarkan mangsa berikutan laluan berbukit, sempit dan licin.

“Mangsa yang patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berita Harian X