Isnin, 29 Oktober 2018 | 6:17pm
ANGGOTA penyelamat mengumpul serpihan kapal terbang Lion Air yang dijumpai di perairan Karawang. - Foto EPA

Video penumpang laung takbir tersebar

KUALA LUMPUR: Hanya laungan takbir yang mampu diluahkan sekumpulan penumpang pesawat Lion Air sebelum terhempas di perairan Karawang, Jakarta.

Adegan menyayat hati itu berjaya dirakam seorang penumpang sebelum video selama seminit itu berakhir.

Bagaimanapun, kesahihan video yang dikaitkan dengan nahas kapal terbang itu belum dapat disahkan.

Video berkenaan menunjukkan sekumpulan penumpang menjerit dan melaungkan takbir selain beristighfar dalam keadaan kabin gelap.

Buat beberapa ketika, video terbabit turut menunjukkan keadaan di luar pesawat yang agak kabur dan terdapat beberapa gegaran kecil sepanjang seminit visual berkenaan.

Terdahulu, satu video operasi Agensi Bencana Nasional Indonesia (BASARNAS) selama seminit 27 saat itu turut tersebar.

Video terbabit menunjukkan agensi berkenaan menemui kaki dipercayai milik penumpang berkenaan.

Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi pesawat Lion Air yang terhempas menemui serpihan kapal terbang bersama cebisan badan manusia serta telefon bimbit yang terapung di lautan.

Pesawat Lion Air JT 610 terhempas di sekitar perairan Daerah Karawang beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Jakarta menuju ke Pangkal Pinang di Bangka Belitung pagi tadi.

Semua 188 penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 737 itu dipercayai terbunuh dalam nahas berkenaan.

Berita Harian X