Selasa, 30 Oktober 2018 | 4:29pm
GAMBAR fail, Peguam Negara, Tommy Thomas sewaktu perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis

Malaysia fail permohonan ketepi Award Persetujuan

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat permohonan kepada mahkamah di England untuk mendapatkan perintah mengetepikan Award Persetujuan yang direkodkan pada 9 Mei tahun lalu oleh Tribunal Timbang Tara yang bersidang di London.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di London hari ini dan pihaknya yakin Malaysia mempunyai kes yang kukuh.

“Timbang Tara itu, yang dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan London Court of International Arbitration, adalah antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS, selaku pihak menuntut dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Menteri Kewangan Diperbadankan selaku pihak responden.

“Di bawah Award Persetujuan itu, Malaysia bertanggungan untuk membayar AS$5.78 bilion (RM24.16 bilion) kepada IPIC dan Pemegang Amanah Bon bagi tempoh lima tahun. Setakat ini, sejumlah AS$1.46 bilion (RM6.1 bilion) sudah dibayar dan bakinya AS$4.32 bilion (RM18 bilion) dengan bayaran faedah seterusnya sebanyak AS$50 juta (RM208.9 juta) perlu dibayar pada 11 November ini.

“Pembayaran faedah yang serupa perlu dibayar secara berkala sehingga April 2022. Pembayaran akhir secara sekali gus sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.52 bilion), setiap satunya yang menjadi jumlah pokok dan faedah perlu dibayar pada Mei dan Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, asas bagi cabaran perundangan Malaysia di Mahkamah Tinggi di London adalah bahawa Award Persetujuan itu diperoleh secara penipuan atau dengan cara yang bertentangan dengan dasar umum.

“Permohonan mahkamah itu berkaitan dengan pengetahuan IPIC dan Aabar akan tuduhan serius yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, yang juga tenaga penggerak dan pembuat keputusan utama di 1MDB.

“Pengetahuan mereka diperoleh, antara lainnya, tidak terkemudian daripada masa Sidang Media DOJ yang diadakan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch, pada Julai 2016.

“Pada sidang media itu beliau mengumumkan pemfailan beberapa tuntutan guaman sivil oleh DOJ untuk membekukan aset yang dibeli oleh penipu-penipu menggunakan hasil yang dicuri dan secara kebiasaannya ditakrifkan sebagai kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah moden,” katanya.

Tambah Tommy, pertuduhan yang berat dan terperinci dalam dokumen mahkamah DOJ itu mendapat publisiti global yang hebat terutama dalam media politik dan perniagaan.

“Hal ini jelas sekali memasuki domain global umum pada Julai 2016. Najib Razak dikenal pasti sebagai ‘MO1’ dalam rayuan DOJ, pembaca rasional yang membaca dokumen itu dengan serta-merta akan menyedari peranan utamanya menipu 1MDB untuk manfaat peribadi, anak tirinya dan Jho Low,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan itu, Malaysia mengambil kedudukan bahawa IPIC dan Aabar sedar akan penipuan Najib.

“Sebarang sistem perundangan akan mendapati tidak mungkin dia bertindak demi kepentingan terbaik negaranya dan syarikatnya. Hakikatnya, dia tidak bertindak sedemikian dan penipuan adalah asas yang mantap untuk mencabar Award Persetujuan atas sebab-sebab dasar umum.

“Sehubungan itu, dengan sukacitanya kami melaporkan bahawa permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi di London pada hari ini.

“Malaysia akan menuntut bahawa berikutan daripada penipuan itu, kita dibebaskan daripada sebarang tanggungan untuk membayar baki AS$4.32 bilion (RM18 bilion) kepada IPIC atau Aabar di bawah Award Persetujuan, dan tambahan daripada ini, kita mempunyai hak untuk mendapatkan semula AS$1.46 bilion (RM6.1 bilion) yang sudah dibayar,” katanya.

Berita Harian X