Selasa, 30 Oktober 2018 | 5:45pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) pada sidang media di Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (tengah) pada sidang media di Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sindiket raih puluhan juta ringgit palsukan kuota pekerja asing

KUALA LUMPUR: Sindiket guna bilik rahsia berselindung di sebalik perniagaan agensi pelancongan untuk kegiatan memalsukan kuota pekerja asing kaut keuntungan puluhan juta ringgit sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket dianggotai lapan lelaki warga India dan seorang lelaki tempatan itu terbongkar selepas ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen di Jalan Masjid India di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, semua suspek yang berusia antara 23 hingga 73 tahun ditahan di pejabat sindiket terbabit, yang juga sebuah syarikat agensi pelancongan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa selepas risikan hampir tiga bulan terhadap premis berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek tidak memberikan kerjasama dan cuba memperdaya pegawai Imigresen dengan memaklumkan tidak wujud kegiatan salah guna sistem Jabatan Imigresen di premis berkenaan.

“Selepas pemeriksaan dilakukan dengan teliti hampir setengah jam, pegawai Imigresen menemui satu bilik rahsia di sebalik dinding premis itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mustafar berkata, hasil pemeriksaan terhadap bilik rahsia itu, pihaknya menemui pasport, peti besi serta komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Kami turut merampas 1,731 pasport milik individu dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Pakistan dan Myanmar.

“Selain itu, wang tunai hampir RM100,000 serta lapan komputer turut dirampas dalam operasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan salah guna sistem Jabatan Imigresen (MyIMMS) yang terbabit dengan kegiatan kuota palsu pekerja asing sejak hampir lapan tahun lalu dan sudah mengaut keuntungan puluhan juta ringgit.

“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan khidmat kepada syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan memberikan jaminan bahawa setiap permohonan dibuat akan diluluskan dengan harga jauh lebih mahal berbanding kadar bayaran sebenar.

“Bayaran RM7,000 dikenakan bagi pekerja belum memasuki negara ini yang memerlukan surat Visa Dengan Rujukan (VDR), manakala pekerja berada di dalam Malaysia, bayaran dikenakan adalah RM1,500 untuk tujuan memasukkan maklumat pekerja ke dalam sistem Jabatan Imigresen yang digodam.

“Apabila maklumat pekerja sudah dimasukkan ke dalam sistem Imigresen, sindiket ini akan mendapat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui MyEG. Sindiket ini dipercayai menguruskan kemasukan pekerja asing dari negara sumber terutama dari India dan Sri Lanka,” katanya.

Beliau turut menggesa 40 syarikat yang dikenal pasti berurusan dengan sindiket terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan sebelum tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka.

Berita Harian X