Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:30pm
Md Zhafran Bakar dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual (meliwat) terhadap dua remaja lelaki, minggu lalu. - Foto BERNAMA

Penjara 10 tahun, 4 sebatan kerana amang seksual

Melaka: Seorang peniaga buah dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual (meliwat) terhadap dua remaja lelaki, minggu lalu.

Md Zhafran Bakar, 31, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa meminta kedua-dua mangsa masing-masing berusia 14 tahun 11 bulan dan 15 tahun dua bulan memasukkan kemaluan mereka ke dalam dubur dan mulutnya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) akta sama, bagi kesalahan meminta mangsa untuk melihat video berunsur lucah menerusi telefon bimbitnya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah hotel dan di dalam kereta di kawasan Pasar Borong Batu Berendam, kira-kira jam 12 tengah malam, pada 21 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa sebelum itu didatangi tertuduh pada petang kejadian, sebelum dijanjikan pekerjaan separuh masa.

Pada malam kejadian, tertuduh menghubungi mangsa melalui pesanan suara aplikasi WhatApps untuk mengajak berjumpa dan menolongnya mengangkat bakul kosong.

Malah, tertuduh turut mengajak mangsa ke hotel dengan memujuk ‘boleh tak abang try kamu, boleh tak, boleh la’, selain turut menawarkan telefon bimbit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon supaya hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana sebagai bapa kepada tiga anak, tertuduh tidak sepatutnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) dan lima tahun bagi setiap pertuduhan untuk Seksyen 15 (e).

Semua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Oktober lalu. Tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berita Harian X