Khamis, 1 November 2018 | 5:14pm

Remaja khayal ganja diberkas

BUKIT MERTAJAM: Lagak selamba seorang remaja lelaki bersiar-siar dalam keadaan khayal akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis bersama dadah.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, suspek berusia 18 tahun ditahan polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Perai Jaya 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pemeriksaan kemudiannya menemukan satu plastik mengandungi dadah jenis kanabis.

“Polis kemudian menahan suspek dan merampas dadah berkenaan sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi tindakan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 11 pagi semalam, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Tun Sardon sebelum menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 39 tahun kerana menagih dadah di situ.

“Semua suspek yang ditahan mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Hasil pemeriksaan pada badan ketiga-tiga suspek juga menemui sepeket kecil dadah jenis heroin pada seorang daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut dan saringan air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah opiat.

Berita Harian X