Rabu, 7 November 2018 | 7:33pm
ZULKIFLI Abdullah bercakap kepada wakil media ketika Program Tea Talk Antidadah : Isu Penyalahgunaan Dadah dan Kaedah penyelesaian dadah di PPR berdasarkan Ops Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di PPR Seri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Syor undang-undang babit peranan ibu bapa banteras gejala sosial

KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi menangani gejala sosial terutama masalah dadah dalam kalangan remaja.

Undang-undang itu antara lain akan membolehkan pihak berkuasa memanggil ibu bapa atau penjaga remaja bermasalah untuk mengikuti sesi kaunseling.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata cadangan itu dilihat sebagai antara kaedah yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah dadah di peringkat awal.

“Adalah amat merisaukan rata-rata remaja sekarang mempunyai masalah sosial menyebabkan mereka terjebak dengan dadah dan dengan adanya undang-undang ini kita positif ibu bapa akan lebih memantau aktiviti anak-anak mereka.

“Dengan adanya sesi kaunseling kita dapat mengenal pasti masalah yang dialami seterusnya cuba menyelesaikannya secara konsisten, kerana kita percaya pencegahan terbaik bermula di rumah, kita mahu ibu bapa tidak lepas tangan terhadap masalah dihadapi anak mereka.

“Masalah remaja terbabit dadah ini perlu ditangani, selain terbabit salah guna dadah, kita juga dapat kesan remaja yang direkrut dan diberi upah oleh ‘tokan’ untuk menjadi mata dan telinga atau dikenali sebagai ‘jaga air’, memberikan maklumat setiap aktiviti penguatkuasaan sekali gus menyusahkan untuk kami mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Zulkifli berkata ia adalah susulan Ops Perdana yang dilaksanakan pada 31 Oktober.

“Di Wilayah Persekutuan, 58 peratus kawasan berisiko tinggi adalah kawasan PPR, dalam Ops Perdana yang lalu kita fokuskan unit rumah, kawasan tangga, taman permainan dan rumah kosong kerana ia menjadi lokasi utama kegiatan dadah.

“Maka sesi dialog hari ini adalah untuk berjumpa pemimpin komuniti, berbincang dan mengumpul maklum balas serta maklumat di peringkat bawahan, ia satu masalah serius dan memerlukan penyelesaian secara holistik dan kerjasama padu masyarakat,” katanya.

Berita Harian X