Jumaat, 9 November 2018 | 5:45pm

Kertas siasatan Musa Aman diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada 2012 - SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah menyerahkan kertas siasatan kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan lanjut.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

“SPRM sudah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

“Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang membabitkan sumbangan politik,” katanya.

SPRM berkata, kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi laporan berita kelmarin yang memetik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta SPRM menjelaskan sebab Musa tidak dituduh sebelum ini.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM bagaimanapun sudah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu selepas memperoleh maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

“SPRM sudah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula.

“Peguam Negara kemudian memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah mengikut Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau dituduh pada 5 November lalu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, kelmarin, Dr Mahathir berkata, beliau percaya bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai alasan tertentu mengapa tidak mendakwa Musa berkait kes rasuah pada 2012.

Perdana Menteri berkata, beliau juga percaya SPRM yang harus memberi penjelasan kenapa Musa tidak didakwa dahulu.

Berita Harian X