Isnin, 12 November 2018 | 9:12pm
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. - Foto Sairien Nafis

Ambrin saksi pertama dipanggil PAC

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, akan dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai saksi pertama berhubung siasatan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata PAC akan memutuskan tarikh pendengaran esok.

“Esok, mesyuarat akan membincangkan prosiding berhubung 1MDB. Kita akan memulakan siasatan terhadap laporan audit negara yang diklasifikasi di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi) sebelum ini.

“Kita akan bincang dan tetapkan tarikh untuk menetapkan prosiding memanggil saksi pertama, iaitu bekas Ketua Audit Negara (Ambrin),” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada 29 Oktober lalu, Kah Woh mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa ada pihak dipercayai mengubah laporan 1MDB atas arahan orang tertentu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut berhubung dakwaan itu, manakala Ambrin menafikan dakwaan berkenaan.

Pada 2015, ketika isu 1MDB menjadi perhatian dalam dan luar negara, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan audit dilakukan terhadap 1MDB dengan laporannya dihantar kepada PAC.

Ahli Parlimen Pekan itu berjanji proses berkenaan akan dilaksanakan secara telus tetapi laporan yang siap pada 2016 itu diklasifikasikan di bawah OSA, berbeza dengan laporan Jabatan Audit Negara yang biasanya menjadi dokumen awam.

Status rahsia laporan itu dibatalkan pada 15 Mei lalu kira-kira seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kah Woh juga mengumumkan PAC akan meneliti kes dibangkitkan dalam laporan ketua audit negara yang dibentang di Parlimen pada Ogos lalu.

Berita Harian X