Khamis, 15 November 2018 | 12:26pm

Kerani didakwa pecah amanah RM2,250

KUANTAN: Seorang kerani Pejabat Belia dan Sukan Pahang mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Mohd Hisham Mohd Kamaruddin, 34, dituduh melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai pembantu tadbir bahagian Perkeranian dan Operasi di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Bera pada 10 Februari 2017 dan 28 Mac 2017.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap hasil kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera berjumlah RM800 pada 10 Februari 2017 yang sepatutnya dimasukkan ke Akaun Jabatan Akauntan Negara.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan jumlah RM1,450 pada 28 Mac 2017.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin dan tertuduh diwakili peguam, Syadzuwan Mohamad Taib.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.

MOHD Hisham dibawa ke Mahkamah sesyen selepas dituduh pecah amanah hasil kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang
MOHD Hisham dibawa ke Mahkamah sesyen selepas dituduh pecah amanah hasil kutipan sewa Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X