Ahad, 18 November 2018 | 2:13pm

2 penunggang motosikal maut

MELAKA: Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi parah selepas terbabit kemalangan dalam kejadian di Jalan Tangga Batu - Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu mengakibatkan Muhammad Nazri Ramli dan Muhammad Rosyam Mohd Bani, masing-masing berusia 16 tahun maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi penunggang Amir Amirul Muhammad Fauzi, 18, patah paha kanan dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata kemalangan itu membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori tangki.

Beliau berkata, sebelum kejadian lori tangki berkenaan bersama dua motosikal mangsa yang maut difahamkan dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Rambai menghala ke Tangga Batu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dikatakan berlaku apabila kedua-dua mangsa yang maut dipercayai cuba memotong lori tangki berkenaan.

“Amir Amirul yang kebetulan melalui lokasi kejadian dari arah bertentangan bagaimanapun tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal mangsa yang maut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat parah di kepala oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM) bagi proses bedah siasat manakala mangsa yang parah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Semakan mendapati kedua-dua mangsa yang maut sudah tidak bersekolah dan Muhammad Rosyam juga tiada lesen memandu,” katanya.

Afzanizar berkata, pihaknya turut meminta kerjasama saksi awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X