Isnin, 19 November 2018 | 1:52pm
MOHAMED Farid Abu Hassan (dua dari kanan) bersama Datuk Hasanuddin Hassan ketika menandatangani plak perasmian Balai Polis Selising. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Polis terus jejak saki baki kumpulan Abu Sayyaf

PASIR PUTIH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya masih ada lagi saki baki kumpulan Abu Sayyaf bersembunyi di negara ini selepas penahanan lapan warga Filipina baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan, berkata saki baki kumpulan itu dipercayai berada di beberapa negeri dan pihaknya terutama bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menggiatkan usaha mengesan mereka.

“Bahagian Counter Terrorism masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes itu selepas penahanan lapan warga Filipina baru-baru ini.

“Insya-Allah akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Balai Polis Selising di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan semua ketua polis daerah.

Ditanya sama ada terdapat kumpulan militan lain di negara ini selain Abu Sayyaf, Mohamed Farid berkata setakat ini polis tidak menolak kemungkinan ada lagi beberapa kumpulan militan lain.

“Kumpulan seperti ini ada di seluruh Malaysia tetapi yang cergas tidak begitu ramai. Ia ada di setiap negeri dengan jumlah yang sedikit dan pihak polis akan terus menjejaki mereka,” katanya.

Ditanya sama ada kumpulan Abu Sayyaf menggunakan orang tempatan untuk menghantar dana kepada bekas pemuzik kumpulan rock UKAYS, Wan Mohd Aquil Wan Zainal, turut dikenali sebagai Akel Zainal yang kini menyertai militan Daesh di Syria.

“Mereka menggunakan pelbagai kaedah penghantaran dana tunai itu dan tidak semuanya menggunakan sistem perbankan negara. Ada yang menggunakan sistem haram (untuk hantar dana).

Mohamed Farid juga berkata polis hanya akan menahan Akel Zainal apabila lelaki itu pulang ke Malaysia.

“Tiada sebab untuk polis tidak menahannya jika beliau pulang ke negara ini tapi ini bukan keputusan pihak polis (untuk menahannya), kami juga perlu mendapat arahan daripada Peguam Negara,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar Sabtu lalu mengenai penahanan seorang militan Abu Sayyaf yang memenggal kepala tebusan kumpulan itu.

Suspek adalah antara tujuh warga Filipina yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan pengganas dalam serbuan di Sabah sejak 30 Oktober hingga Isnin lalu.

Ada antara suspek itu dipercayai terbabit dalam usaha menyalurkan dana kepada Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan Daesh di Syria pada 2017 bagi tujuan membiayai kegiatan keganasan.

Berita Harian X