Isnin, 19 November 2018 | 10:43pm
WAN Mohammed Rasman Wan Hassan (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis mengenai kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy di Balai Polis Daerah Kota Bharu. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bimbang peristiwa 13 Mei berulang - Pemuda UMNO

KOTA BHARU: Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy wujud diskriminasi kaum di negara ini jelas berniat jahat.

Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Wan Mohamed Rasman Wan Hassan, berkata kenyataan Waytha Moorthy dalam klip video yang tular boleh mengganggu gugat keharmonian negara.

“Ia juga dilihat satu usaha untuk melobi negara luar supaya campur tangan atas dakwaannya bahawa Malaysia mengamalkan dasar menindas kaum serta masyarakat minoriti.

“Saya mewakili belia bangsa Melayu dan agama Islam menggesa siasatan lanjut dan tindakan yang adil dapat dilakukan terhadap beliau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Meskipun Waytha Moorthy mendakwa rakaman video itu dibuatnya 10 tahun lalu, Wan Mohamed Rasman berkata ia tidak membezakan niat beliau yang sudah terang-terang ingin menyebabkan perpecahan dalam negara.

Menurutnya, jika isu itu terus dibiarkan, beliau bimbang akan berulang tragedi 13 Mei 1969.

Terdahulu beliau bersama beberapa ahli yang lain membuat laporan berhubung kenyataan Waytha Moorthy di Balai Polis Kota Bharu.

Wan Mohamed Rasman berkata pihaknya akan terus bangkit menentang jika hak orang Melayu dan Islam terus diprovokasi.

“Dalam perkara yang menyentuh mengenai Islam dan bangsa Melayu, kami (Pemuda UMNO) dan Pemuda PAS bersedia bekerjasama bagi mempertahankan agama dan bangsa kami.

“Contoh yang terbaharu adalah himpunan menentang isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan di perkarangan Masjid Muhammadi, di sini Jumaat lalu,” katanya.

Berita Harian X