Selasa, 20 November 2018 | 3:58pm
MOHD Khairul Ishak (tengah) bersama ahli NGO yang membuat laporan polis di IPD Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim
MOHD Khairul Ishak (tengah) bersama ahli NGO yang membuat laporan polis di IPD Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim

Polarisasi kaum semakin ketara selepas PRU-14

KLUANG: Pelbagai isu yang timbul selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan berlaku polarisasi kaum di Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Mohd Khairul Ishak, berkata keadaan ini dikhuatiri boleh menghakis semangat perpaduan yang terbentuk sejak negara merdeka, lebih 60 tahun lalu.

Katanya, soal sensitif sama ada berkaitan kaum dan agama di negara ini sering diketengahkan pihak tertentu termasuk menteri sendiri.

“Perkara ini disambut media massa dan media baharu yang menimbulkan perasaan kurang senang yang mana perkara ini boleh menggugat perpaduan kaum di Malaysia.

“Kontrak sosial yang dipersetujui pemimpin terdahulu pada era pasca kemerdekaan perlu difahami dengan lebih mendalam termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam dan Bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) cawangan Kluang dan Majlis Belia Daerah Kluang terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

Mohd Khairul berkata, pihaknya mendesak supaya Waytha Moorthy segera meletak jawatan sebagai menteri yang menjaga portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial kerana tindakannya sebelum ini lebih banyak mengundang perpecahan kaum.

“Lebih mendukacitakan apabila dia menjadi menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum selepas membangkitkan isu yang mencetus kemarahan rakyat.

“Walaupun videonya yang memburukkan Malaysia di luar negara sudah lama berlaku, sehingga hari ini dia tidak pernah menarik semula kenyataannya dan video berkenaan membuktikan agenda sebenarnya,” katanya.

Mohd Khairul berkata, Pengerusi Hindraf itu kelihatan bersungguh-sungguh dengan usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di negara ini.

“Hakikatnya, tidak timbul isu diskriminasi kaum di negara ini kerana semua kaum diberi peluang sama rata untuk merebut peluang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan pendidikan sejak era pasca merdeka.

“Jadi, kami mendesak Waytha Moorthy melepaskan jawatannya secara terhormat dan jika tidak, kami memohon campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Yang di-Pertuan Agong kerana ini membabitkan perlembagaan negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X