Selasa, 20 November 2018 | 5:22pm
AHMAD Dzaffir Mohd Yusoff

Kira-kira 20 individu beri keterangan kes Zara

KAJANG: Polis sudah mengambil keterangan kira-kira 20 individu bagi membantu siasatan kes dera secara fizikal dan seksual bayi perempuan berusia 11 bulan yang disahkan meninggal dunia pada 9 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya mengambil keterangan semua pihak yang berkaitan dengan kes berkenaan.

“Setakat ini, kami sudah mengambil keterangan antara 15 hingga 20 individu yang berkaitan dengan kes ini bagi membantu siasatan.

“Antara individu yang diambil keterangan termasuk, ahli keluarga mangsa, jiran serta pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bayi malang itu, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dengan panggilan Zara meninggal dunia, 9 November lalu selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang, 7 November lalu.

Hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat mangsa mendapati punca kematian disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala bayi berkenaan

.

Difahamkan ibu bapa mangsa menetap di Bandar Baru Bangi, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh yang juga tinggal di kawasan perumahan sama sejak September lalu.

Pengasuh berusia 28 tahun dan suaminya yang bekerja sebagai tukang gunting, 36, ditahan pada 8 November lalu ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ahmad Dzaffir berkata, kedua-dua suspek terbabit akan dituduh dalam masa terdekat.

Berita Harian X