Selasa, 20 November 2018 | 6:10pm
MOHAMAD Ali Mohamad (lima dari kanan) bersama Wan Zahidi Wan Ismail (lima dari kiri) menunjukkan laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy susulan rakaman video pemimpin berkenaan yang disifatkan keterlaluan dan mengundang perpecahan kaum ketika laporan polis dibuat di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Kaba. - NSTP/Rasul Azli Samad

UMNO, PAS, NGO Melaka mahu Waytha Moorthy dikenakan tindakan

MELAKA: Pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy susulan rakaman video pemimpin berkenaan yang disifatkan keterlaluan dan mengundang perpecahan kaum di negara ini.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh UMNO, PAS dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka di Balai Polis Melaka Tengah, Bandar Hilir, di sini, hari ini, gabungan pemimpin pembangkang dan NGO itu turut menyifatkan tindakan Waytha Moorthy itu sebagai memburukkan nama Malaysia di luar negara serta menghina Islam.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu kerana tindakan keterlaluannya yang dibimbangi boleh mengakibatkan perpecahan kaum dan pergaduhan di negara ini.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) kena ambil tindakan kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Waytha Moorthy adalah perkataan yang memecah belah dan mengganggu gugat ketenteraman.

“Kenyataannya juga dilihat boleh menghancurkan perpaduan di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama pemimpin pembangkang dan NGO di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Yang turut hadir membuat laporan polis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail; Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz dan Yang Dipertua ISMA Melaka, Mohd Khoushaini Mohd Naim.

Dalam pada itu, kira-kira 100 orang turut hadir membantah tindakan Waytha Moorthy, selain turut membangkitkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Video lama yang dipercayai kira-kira 10 tahun lalu itu muncul kembali dengan Waytha Moorthy mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.

Penularan kembali video lama pemimpin HINDRAF itu bagaimanapun disifatkan sebagai agenda ‘cyber trooper’ untuk menimbulkan sentimen ketidakyakinan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Wan Zahidi berkata, Waytha Moorthy cuba menangkis kecaman dengan mengatakan video tular di laman sosial mengenai ucapannya itu adalah video 10 tahun lalu dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu.

“Namun, dalam video berkenaan langsung tiada disebut berkaitan pemerintahan BN sebaliknya apa yang dibangkitkan ialah masalah dihadapi kaum India termasuk dipaksa memeluk Islam, isu 10,000 kuil dirobohkan dan beberapa perkara lain.

“Ini adalah fitnah dahsyat kepada negara malah memberi gambaran betapa teruknya pemerintahan di Malaysia. Sebab itu kita buat laporan polis bersama rakan lain supaya PDRM boleh menjalankan siasatan serta mengambil tindakan kerana ia boleh mengganggu gugat keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khoushaini pula mendesak supaya menteri yang bertanggungjawab menjaga perihal perpaduan dan kesejahteraan sosial itu segera meletak jawatan kerana tindakannya itu tidak selari dengan portfolio dipegangnya.

Berita Harian X