Selasa, 20 November 2018 | 8:01pm

GPMS Kedah desak Waytha Moorthy mohon maaf

ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mengutuk dan mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy membuat permohonan maaf di media antarabangsa dan tempatan kerana memburukkan imej negara di mata dunia.

Pengerusinya, Razeff Shardin Mat Rejab berkata, barisan GPMS Kedah mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan dibuat Waytha Moorthy bahawa negara ini mengamalkan perbuatan zalim terhadap bangsa lain.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu kerana negara sudah mencapai kemerdekaan selama 61 tahun dan tiada masalah perkauman yang berlaku, cuma kenyataan yang dibuat oleh menteri berkenaan boleh menimbulkan kekacauan.

“Kami meminta Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba mengapi-apikan mengenai perpaduan negara ini.

“Sekiranya kaum India dinafikan hak untuk menyambung pengajian di Universiti Awam (UA), tidak mungkin pembabitan kemasukan kaum berkenaan ke UA seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dapat dilakukan.

“Oleh itu, seluruh barisan kepimpinan GPMS negeri Kedah mengutuk sekeras-kerasnya terhadap kenyataan yang dibuat Waytha Moorthy bahawa negara ini menzalimi bangsa dan agama lain serta menyentuh hak keistimewaan orang Melayu yang terdapat dalam dalam perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya juga menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku suami kepada pengasas GPMS, Tun Siti Hasmah Mohd Ali, mengambil tindakan terhadap menteri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya memohon jasa baik Jabatan Pendidikan Negeri Kedah mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pihak yang cuba memberi Bible di sekolah di negeri itu.

“Kita mendapat maklumat dan maklum balas yang tidak senang dalam kalangan ibu bapa pelajar yang khuatir bahawa perkara ini boleh mengubah akidah mereka.

Berita Harian X