Rabu, 21 November 2018 | 11:51am
BATHOLOMEW Umpit (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam kes perjudian sekitar daerah Papar ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

9 suspek curi sarang burung dicekup

PAPAR: Polis menahan sembilan lelaki yang disyaki terbabit memecah masuk sebuah sekolah sebelum mencuri sarang burung walit di sebuah rumah sarang burung di dalam kawasan sekolah berkenaan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi di Papar Middle School di sini, seorang pengawal keselamatan sekolah turut cedera dibelasah kumpulan penjenayah terbabit sebelum tangannya diikat dan telefon bimbitnya dilarikan.

Semua suspek iaitu sembilan rakyat tempatan dan seorang warga asing berusia 24 hingga 44 tahun itu bagaimanapun ditahan di sekitar Papar dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

Difahamkan, polis dapat mengenal pasti suspek selepas menemui sebuah beg galas mengandungi kad pengenalan salah seorang suspek berhampiran pagar sekolah berkenaan, dipercayai tertinggal ketika kumpulan terbabit memanjat pagar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit, berkata ketika kejadian pengawal keselamatan sedang melakukan rondaan sebelum ternampak tiga lelaki bertopeng dan membawa senapang buatan sendiri, kerambit dan parang di kawasan sekolah, manakala enam lagi suspek di rumah sarang burung.

“Menyedari kehadiran pengawal keselamatan itu, beberapa suspek memukul mangsa dengan besi menyebabkannya jatuh ke lumpur lalu tangannya diikat. Mangsa bagaimanapun berjaya membuka ikatan pada tangannya di pondok keselamatan pada kira-kira jam 4 pagi, selepas semua suspek melarikan diri.

“Mangsa yang cedera pada bahu kanan dan kesan ditendang pada muka mendapatkan rawatan di Hospital Papar sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Batholomew berkata, susulan penahanan semua suspek terbabit, polis menemui semula 500 gram sarang burung bernilai RM5,000 yang dipercayai dicuri dari kawasan sekolah berkenaan selain merampas beberapa senjata.

Beliau bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat jumlah sebenar sarang burung yang dilarikan serta kepada siapa ia dijual.

“Kesemua suspek yang positif dadah dengan beberapa daripada mereka memiliki rekod jenayah kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” katanya.

Berita Harian X