X
Rabu, 21 November 2018 | 11:08pm
KHAIRUL Izaini Khairuddin (kiri) atau dikenali sebagai 'Boy Tiger' akan didakwa di Mahkamah Ampang esok. - Foto ASYRAF HAMZAH
KHAIRUL Izaini Khairuddin (kiri) atau dikenali sebagai 'Boy Tiger' akan didakwa di Mahkamah Ampang esok. - Foto ASYRAF HAMZAH

Boy Tiger didakwa esok

KUALA LUMPUR: Suspek utama kes dera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak tiri suspek akan dituduh di Mahkamah Ampang esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisoner Fadzil Ahmat, berkata suspek yang dikenali sebagai Boy Tiger itu disyaki mendera Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman hingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, beliau berkata isteri Boy Tiger yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Katanya, wanita itu dibebaskan dengan bon selepas direman dua kali iaitu kali pertama pada 13 November lalu dan kali kedua pada Isnin lalu sebagaimana diperintahkan Mahkamah Majistret Ampang.

Menurutnya, dia yang dibebaskan dengan bon kini menjadi saksi terhadap kes kematian anaknya itu yang dipercayai didera.

“Wanita itu dibebaskan dengan bon namun dijadikan saksi terhadap kes kematian kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Boy Tiger dan isterinya menghilangkan diri selepas pegawai perubatan di Hospital Ampang mengesahkan Muhammad Khairil Akmal dibawa mendapatkan rawatan sudah meninggal dunia dalam kejadian pada 8 November lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan polis di Hospital Kajang pada 12 November lalu.

Boy Tiger ditahan ketika melawat isterinya di hospital berkenaan selepas melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah rumah inap di Hulu Langat.

Berita Harian X