Khamis, 22 November 2018 | 7:10pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 138 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, Rompin, hari ini. - Foto ihsan bomba

Dua termasuk anggota polis maut kemalangan

ROMPIN: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut selepas kenderaan yang mereka pandu bertembung dalam kemalangan di Kilometer (KM) 138 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Nahas kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan Lans Koperal Raja Ahmad Faris Raja Mazlan, 29, berasal dari Bukit Kuang, Cukai, Terengganu, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata seorang lagi yang maut di tempat kejadian adalah pemandu lori, Wang Aji @ Wang Lip Hua, 69, dan berasal dari Kuantan.

“Kereta PERODUA Kancil yang dipandu Raja Ahmad Faris dikatakan dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala lori Toyota Dyna Hi-Ace yang dipandu Wang Aji dari arah bertentangan.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu PERODUA Kancil dikatakan gagal mengawal kenderaannya dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum cuba masuk semula ke laluannya.

“Bagaimanapun, selepas berjaya masuk semula ke laluannya, ia gagal dikawal lalu masuk ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa maut serta-merta di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

“Kedua-dua mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Muadzam Shah, di sini, untuk bedah siasat. Siasatan mendapati ketika kejadian cuaca cerah dan tidak hujan manakala jalan berselekoh.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan saksi juga diminta tampil ke balai polis bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X