Jumaat, 23 November 2018 | 9:30am
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Asyraf Hamzah

Warga Bangladesh disyaki liwat kanak-kanak

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas disyaki meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah stor berhampiran sebuah gerai makanan dalam kejadian di Jalan 223, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata lelaki Bangladesh berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 2 pagi tadi susulan laporan polis dibuat bapa kanak-kanak berkenaan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pekerja kontrak di sebuah gerai makan di Jalan 223 itu dikatakan mengurung kanak-kanak terbabit di dalam sebuah stor dan meliwatnya.

"Sebelum kejadian berlaku, pada jam 11.30 malam semalam, mangsa datang ke stor berkenaan bagi mengambil telefon bimbit yang sedang dicas.

"Namun, suspek tiba-tiba datang dan mengurung mangsa sebelum meliwatnya beberapa kali," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zani berkata, selepas kejadian itu, mangsa kemudian mengadu perbuatan jijik lelaki Bangladesh berkenaan kepada bapanya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Katanya, mangsa juga mengadu kepada bapanya bahawa sebelum ini, suspek juga pernah cuba meliwatnya dan turut menawarkan wang RM150 sebagai habuan jika melayan perbuatan jijiknya itu.

"Lelaki Bangladesh berkenaan ditahan bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

"Kanak-kanak lelaki itu pula akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi tujuan pemeriksaan perubatan," katanya.

Berita Harian X