Jumaat, 23 November 2018 | 10:17am
GAMBAR fail, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad. - Foto Edmund Samunting
GAMBAR fail, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad. - Foto Edmund Samunting

Wanita UMNO buat laporan polis terhadap Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR: Seramai 191 Wanita UMNO membuat laporan polis ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy susulan hasutan yang dilakukan menerusi rakaman video yang dianggap keterlaluan dan memburukkan imej negara.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, berkata pihaknya tidak mahu berkompromi dengan ucapan Waytha Moorthy menerusi video terbabit yang dilihat berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan serta perasaan tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

“Wanita UMNO mahu Waytha Moorthy disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan.

“Pada masa sama, kami juga mendesak supaya beliau menyelesaikan segera isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menimbulkan polemik dan kontroversi.

“Wanita UMNO berpandangan, isu ICERD yang dicetuskan oleh Menteri Perpaduan itu dilihat mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noraini juga berkata, dakwaan Waytha Moorthy masyarakat India di Malaysia didiskriminasi ketika di bawah pentadbiran BN bukan saja berniat jahat malah satu fitnah terbesar.

“Menerusi video berdurasi selama dua minit 39 saat itu juga beliau menggambarkan negara ini melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau.

“Waytha Moorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dengan hak bukan Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara, ini dipercayai boleh menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.

Berita Harian X