Sabtu, 24 November 2018 | 4:51pm

1MDB: Peguam Negara siapkan tuntutan saman ke atas Goldman Sachs

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang menyiapkan fail tuntutan saman sivil terhadap bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs, bagi mendapatkan semula dana sebanyak AS$4.5 bilion (RM18.88 bilion) nilai kerugian yang dialami melalui urus niaga dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Asia Times yang memetik sumber dalaman berkaitan kes saman sivil membabitkan bank pelaburan itu berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas sedang menguruskan perkara itu dan akan menfailkan tuntutan saman berkenaan di mahkamah Amerika Syarikat.

Tuntutan saman itu rentetan tindakan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang sudah memfailkan saman terhadap bank pelaburan yang sama berkaitan urus niaga dengan 1MDB, kelmarin.

Sumber itu dilaporkan berkata, Tommy mempunyai asas yang kukuh untuk mengemukakan tuntutan saman itu yang membabitkan pengurusan tertinggi bank pelaburan berkenaan yang menyedari penipuan itu berlaku, termasuk eksekutif kanan yang sudah didakwa dalam kes jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Dalam tuntutan sama IPIC yang dikemukakan kelmarin, dilaporkan eksekutif kanan Goldman sedar bahawa hasil daripada tiga bon 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 disalurkan ke sebuah syarikat, Aabar BVI ditubuhkan di British Virgin Islands yang menyerupai sebuah syarikat yang sama bernama Aabar Investments, yang dimiliki IPIC.

Dalam tuntutan sama kelmarin, IPIC Abu Dhabi dan anak syarikatnya, Aabar Investments, memfailkan tindakan tuntutan saman sivil di Mahkamah Agung New York terhadap Goldman atas kerugian yang ditanggung melalui urusannya dengan 1MDB. Namun, jumlah tuntutan tidak didedahkan dalam laporan akhbar itu.

Baru-baru ini , Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan tuntutan jenayah yang difailkan terhadap eksekutif Ex-Goldman Sachs, Tim Leissner dan Pengarah Urusan Goldman Sachs, Ng Chong Hwa, 51, atau dikenali sebagai Roger Ng dan Low Taek Jho yang terbabit kes rasuah dan pengubah wang haram berkaitan 1MDB.

Pertuduhan berkenaan menyebut, Jho Low dan dan Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi yang mana AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Hasil penyelewengan itu telah dicuci melalui pelbagai transaksi seperti pelaburan dalam hartanah mewah, pembelian hasil seni dan pelaburan pengeluaran filem. Jho Low menafikan terbabit dengan sebarang salah laku melalui kerjasamanya dengan 1MDB.

Bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu berada kini di bawah pengawasan, susulan peranannya dalam mengumpul dana melalui penawaran bon untuk 1MDB, yang menjadi subjek siasatan rasuah dan penggubah wang haram di sekurang-kurangnya enam negara.

Pada 12 November, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia akan mendapatkan bayaran balik penuh urus niaga 1MDB daripada bank berkenaan.

Goldman Sachs dilaporkan mengutip yuran komisyen berjumlah AS$600 juta daripada bon yang diterbitkan bagi 1MDB pada 2012 dan 2013.

“Kerajaan Malaysia akan menuntut semula semua yuran yang dibayar, serta semua kerugian termasuk perbezaan kadar faedah,” katanya sambil menambah, kadar yang dibayar Malaysia adalah kira-kira 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran.

Berita Harian X