Selasa, 27 November 2018 | 2:36pm
PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd hadir pada majlis perasmian Memorial K9 PDRM bertempat di Unit K9 Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
PENGARAH JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd hadir pada majlis perasmian Memorial K9 PDRM bertempat di Unit K9 Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Tambahan 75 anjing K9 bantu cegah jenayah

KUALA LUMPUR: Unit K9 (D6B) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima 75 ekor anjing K9 bagi memantapkan lagi tugasan dalam pencegahan jenayah.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata semua 75 ekor anjing K9 itu dijangka bakal diterima pada tahun hadapan untuk dilatih sebagai anjing pengesan.

Katanya, buat masa ini Unit K9 mempunyai sebanyak 97 anjing pengesan bagi kegunaan pencegahan jenayah di seluruh negara.

“Semua anjing baharu yang akan diterima pada tahun hadapan itu bagi menggantikan K9 yang sudah mati, sakit dan rehat di kandang.

“Sebaik diterima kelak, K9 berkenaan akan dilatih dalam empat bidang penugasan seperti Bahagian Anjing Jenayah, Bahagian Anjing Dadah, Bahagian Anjing Cadaver serta Bahagian Anjing Bahan Letupan dan Senjata Api,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Memorial K9 PDRM bertempat di Unit K9 Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Ahmad berkata, kebiasaan anjing K9 untuk kegunaan PDRM diimport dari China dan Jerman kerana kedua-dua negara berkenaan mempunyai baka anjing yang baik.

Katanya, penggunaan anjing pengesan adalah kaedah paling berkesan dalam mengesan aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api, mengesan mayat, orang hilang serta mengesan penjenayah.

“Anjing K9 itu nanti akan dilatih oleh anggota polis yang bukan beragama Islam daripada seluruh kontinjen PDRM dalam usaha membantu negara membanteras kegiatan jenayah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian Memorial K9 berkenaan, Wan Ahmad berkata, ia dibina bagi menyambut Ulang Tahun Ke-50 Jubli Emas Penubuhan K9 PDRM.

Katanya, memorial itu juga bagi mengenang jasa 570 anjing pengesan yang berkhidmat dengan PDRM sejak 1968 hingga kini yang sudah membantu menyelesaikan sebanyak 1,250 kes jenayah.

“Semoga dengan penambahan anjing K9 itu nanti ia akan akan melonjakkan PDRM sebagai ‘Polis Bertaraf Dunia’, katanya.

From: Mohd

Berita Harian X