Selasa, 27 November 2018 | 3:08pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid (dua dari kiri) pada sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya. - Foto BERNAMA
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid (dua dari kiri) pada sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya. - Foto BERNAMA

Bomba terpaksa berundur - KP JBPM

SUBANG JAYA: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bergegas ke lokasi kebakaran terpaksa berundur selepas menyedari mereka diserang sekumpulan perusuh.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata arahan untuk berundur itu dikeluarkan oleh komander operasi sebaik sahaja melihat semakin ramai perusuh menerpa ke arah jentera pemadam kebakaran dan sebuah ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sewaktu kejadian, anggota bomba ke lokasi itu selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sebuah kereta sekitar jam 1 pagi tadi.

“Sebuah jentera pemadam api dengan tujuh anggota berserta sebuah jentera EMRS dengan dua anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua jentera dikerumuni oleh sekumpulan perusuh yang turut membaling batu dan cuba mencederakan anggota bertugas,” katanya dalam sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya di sini.

Mohamad Hamdan berkata, selepas mendapati keadaan semakin tidak terkawal, komander operasi mengarahkan supaya kedua-dua jentera itu berundur.

“Sewaktu cuba berundur itulah mangsa, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan jentera EMRS ditarik keluar kumpulan perusuh tanpa disedari oleh pemandu.

“Sekembalinya kedua-dua jentera berkenaan ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya barulah mereka sedari Muhammad Adib tiada bersama sebelum cuba menghubunginya melalui telefon bimbit dan dijawab oleh orang awam yang memaklumkan mereka dalam perjalanan membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, kejadian itu mengakibatkan kedua-dua jentera mengalami kerosakan termasuk pecah cermin hadapan, patah pembuka pintu serta kemek dipercayai akibat dilontar batu serta diketuk menggunakan objek keras.

“Anggota bomba yang terselamat dalam kejadian itu turut mengalami trauma, namun dipanggil untuk dipulihkan semula memandangkan tugas harus diteruskan.

“Anggota JBPM sentiasa bersedia menjalankan tugas dan selepas ini kami mungkin akan membuat koordinasi operasi bersama pihak berkuasa terutamanya pihak polis,” katanya.

Muhammad Adib kini ditempatkan di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Muhammad Adib juga berada di bawah pengawasan berterusan lima orang doktor pakar dan bergantung pada mesin sokongan hayat.

Berita Harian X