Khamis, 29 November 2018 | 12:22pm

Datuk, empat lain, dibebas dengan jaminan SPRM

JOHOR BAHRU: Pengarah sebuah jabatan kerajaan bergelar Datuk yang ditahan reman bersama empat individu, Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Nurhidayah Abd Manaf mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman empat hari terhadap kelima-lima suspek berkenaan tamat hari ini.

Datuk berkenaan dan tiga pegawai jabatan itu masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin, manakala seorang lagi individu yang juga ahli perniagaan dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM20,000 berdeposit dengan seorang penjamin.

Isnin lalu, kelima-lima suspek ditahan reman empat hari selepas SPRM menahan mereka bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

SPRM menahan pegawai kanan berusia 44 tahun itu di pejabatnya pada jam 10 pagi, Ahad lalu, manakala tiga lagi pegawai jabatan itu termasuk seorang wanita berusia 38 hingga 46 tahun ditahan antara jam 3.25 hingga jam 3.45 petang di Pejabat SPRM Johor selepas mereka hadir memberi keterangan.

Sementara itu, suspek ahli perniagaan berusia 50 tahun ditahan di pejabat syarikatnya di sekitar daerah ini, pada jam 10.25 pagi.

Menurut sumber, pengarah terbabit disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM turut melakukan penggeledahan di rumah pengarah berkenaan dan menjumpai wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM91,000.

Turut ditemui ialah buku akaun bank di Singapura atas nama suspek bernilai RM1.8 juta.

Pengarah sebuah jabatan kerajaan bergelar Datuk yang ditahan reman oleh SPRM bersama empat individu, Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Pengarah sebuah jabatan kerajaan bergelar Datuk yang ditahan reman oleh SPRM bersama empat individu, Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X