Ahad, 2 Disember 2018 | 5:08pm
DATUK Seri Mohmad Salleh - Foto MAHZIR MAT ISA

151,974 individu ditahan kes dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan 151,974 individu disyaki memiliki dan mengedar dadah, selain didapati positif ujian saringan air kencing, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 28 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata tangkapan terbabit adalah hasil operasi dan serbuan dijalankan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 23,972 individu ditahan berhubung kesalahan membekal dadah, manakala 57,716 lagi memiliki bahan terlarang berkenaan dan 70,286 pula positif ujian saringan air kencing.

“Jumlah itu membabitkan seramai 143,386 warga tempatan dan 8,588 warga asing, termasuk 1,134 tangkapan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohmad berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah sintetik dan tradisional dalam serbuan serta operasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagi dadah sintetik, kami merampas sebanyak 3,869.7 kilogram (kg) syabu, 216.3kg ketamin, 907.7kg (4,538,500 biji) pil erimin 5, 223.4kg (1,117,000 biji) pil yaba dan 134.1kg (447,000 biji) pil ekstasi.

“Pada masa sama, kami merampas 1,873.7kg ganja dan 682.2kg heroin. Keseluruhan kedua-dua jenis dadah itu dianggarkan bernilai RM353.4 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya menyita harta dianggarkan bernilai RM8.04 juta, manakala harta bernilai RM15.1 juta dilucutkan.

“Kejayaan serbuan dan operasi adalah hasil kerjasama erat masyarakat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama JSJN, bagi memastikan kegiatan memproses, penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras habis-habisan,” katanya.

Berita Harian X