Isnin, 3 Disember 2018 | 4:51pm

4 penyamun larikan RM100,000 di dalam tin biskut

Sungai Buloh: Empat lelaki bersenjata parang memecah masuk sebuah rumah di Bukit Rahman Putra, di sini, awal pagi tadi, dan melarikan wang tunai berjumlah RM100,000 yang disembunyikan di dalam sebuah tin biskut.

Susulan kejadian jam 3.45 pagi, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang berada bersama nenek, ibu saudara dan adiknya di dalam rumah terbabit ketika itu, tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata selain wang tunai, suspek turut melarikan empat unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kita ada menerima laporan berkenaan satu kes samun bersenjata. Laporan dibuat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa.

“Dalam kejadian itu, kita mendapati semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keempat-empat suspek dikatakan menutup muka dan memakai sarung tangan ketika memecah masuk rumah itu. Kita mengesyaki semua suspek terbabit adalah warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Berita Harian X