Selasa, 4 Disember 2018 | 2:01pm

Rompak penuntut: Buruh dipenjara 7 tahun, dua sebatan

KOTA BHARU: Seorang buruh dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penuntut universiti, tiga tahun lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat Saiful Azhar Muhammad, 32, di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang sudah dihukum didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan pisau terhadap Wan Muhammad Adli Wan Ab Rahman yang ketika itu berusia 21 tahun dengan melarikan pelbagai barang termasuk dokumen penting, tiga komputer riba, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM500.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Air Belaga, Machang pada jam 4 pagi, 2 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X