Selasa, 4 Disember 2018 | 2:11pm
Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy, sewaktu hadir ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Polis akan panggil Waytha untuk ambil keterangan hari ini - Fuzi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini untuk mengambil keterangan dipercayai berhubung kes kenyataan yang menggugat keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata Waytha Moorthy bakal dipanggil hari ini, selepas beberapa kali menangguhkan proses mengambil keterangan itu.

“Saya rasa sudah (Waytha Moorthy) dipanggil hari ini. Dia tangguh banyak kali. Kalau tiada perubahan kita akan ambil kenyataan dia hari ini,” katanya sejurus menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Kolej UNIKOP, milik Koperasi PDRM, di Maktab PDRM, dekat Cheras, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memaklumkan sembilan individu termasuk Azwanddin serta Ragvinder akan dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataan masing-masing yang dilihat boleh menjejaskan keselamatan negara.

Tujuh individu lain, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong; ADUN Tras, Chow Yu Hui; Timbalan Pengerusi Gabungan 3, Amran Ahmad Nor serta blogger, Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyas atau Edi Rejang.

Ini susulan ratusan laporan yang diterima polis di seluruh negara berhubung beberapa isu yang dilihat boleh menjejaskan kesejahteraan antara kaum dan keselamatan negara termasuk isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berita Harian X