Selasa, 4 Disember 2018 | 4:31pm
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - Foto Asyraf Hamzah

Kes saman Yeo Bee Yin terhadap Jamal akan cuba diselesai secara baik

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan cuba diselesaikan melalui proses mediasi.

Peguam K Murali yang mewakili Yeo berkata demikian ketika ditemui selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad di sini.

Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk cuba menyelesaikan kes itu secara baik melalui proses mediasi.

“Mahkamah Tinggi sudah menetapkan 20 Disember ini untuk proses mediasi.

“Bagaimanapun jika mediasi itu gagal, kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini iaitu selama tiga hari bermula 15 April sehingga 17 April depan,” katanya.

Peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad hadir bagi pihak Jamal.

Pada 14 Jun 2017, Yeo sebagai plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan Jamal sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Yeo mendakwa pada 21 Mac 2017, defendan mengadakan sidang media dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pernyataan berbaur fitnah itu disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan itu.

Berita Harian X