Rabu, 5 Disember 2018 | 6:45pm
AHLI keluarga dan penduduk mengusung jenazah Mohd Aidil Azzhar yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang dicas di rumahnya. - Ihsan pembaca

Mangsa tak sempat masak untuk ibu

REMBAU: “Arwah sempat memberitahu mahu memasak makanan tengah hari dan berpesan supaya ibunya pulang makan,” kata ahli keluarga Mohd Aidil Azzhar Zahrin, 16, yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang dicas di rumahnya, kelmarin.

Namun ibu mangsa yang pulang ke rumah dari kilang tempat bekerja, terkejut apabila menemui anaknya itu sudah tidak sedarkan diri.

Ahli keluarga yang enggan namanya disiarkan itu berkata, Mohd Aidil Azzhar yang masih memakai fon telinga telefon bimbitnya ditemui jam 12.45 tengah hari dalam keadaan tertiarap di dalam biliknya di rumah mereka di Kampung Gaing Baru, Pedas di sini.

“Arwah kerap memasak untuk ibu dan abangnya pada waktu cuti sekolah dan malam sebelum kejadian dia sempat meminta ibunya pulang untuk makan tengah hari bersama-sama. Kami amat sedih dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk kampung mahu dikenali sebagai Maimunah, 60, berkata arwah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sedia Raja, di sini, terkenal sebagai seorang yang baik dan disenangi ramai.


LAPORAN dalam BH Online.

“Saya difahamkan, dia mengecas telefon bimbitnya sambil memasang fon telinga sebelum tertidur pada malam sebelum kejadian.

Sebelum ibunya pergi bekerja kira-kira jam 7.45 pagi keesokan harinya, dia melihat arwah tidur dalam keadaan tertiarap.

“Dia tidak mengesyaki apa-apa ketika itu. Namun apabila pulang kira-kira jam 12.45 tengah hari, dia melihat anaknya masih belum bangun dan masih tertiarap lalu memeriksa keadaannya sebelum mendapati tubuhnya sejuk.

“Dia segera menghubungi klinik berdekatan sebelum pegawai perubatan yang datang membuat pemeriksaan memberitahu anaknya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan kecuali pendarahan pada telinga sebelah kiri.

“Ketika ditemui, telefon bimbit mangsa sedang dicas manakala fon telinga yang terlekat pada telinga mempunyai kesan terbakar.

Bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X